Thursday 13 September 2012

Introduksi Bebas, Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi.



Bebas, Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi sebagai tiga platform bagi calon Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia(USM).

Di USM, terdapat tiga plaform bagi mahasiswa untuk bertanding seperti yang dinyatakan di atas. Meskipun demikian, masih ada pihak yang menafikan wujudnya ketiga-tiga platform ini dan memandang cuma satu platform yang wujud iaitu platform sebagai calon Bebas.

Bebas.
Bebas bukanlah sebuah platform yang menyerupai sebuah parti politik. Calon yang bertanding sebagai calon bebas tidak terikat dengan mana-mana ideologi atau doktrinisasi. Calon yang bertanding sebagai calon bebas juga boleh membawa sebarang manifesto tanpa perlu terikut-ikut idea sepertimana calon-calon Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. Penyertaan sebagai calon bebas, walaubagaimanapun, dilihat sebagai sesuatu yang memerlukan kerja keras kerana calon bebas terpaksa meraih undi dengan lebih komprehensif untuk mendapatkan "crowd" mereka sendiri sedangkan calon Pro Mahasiswa ataupun Pro Aspirasi sudah mempunyai "crowd" dari awal lagi memandangkan penyertaan mereka ibarat sebuah parti.

Pro-Mahasiswa USM.
Dilihat ibarat parti pembangkang di luar kampus tidak pernah menghentikan pasukan Pro Mahasiswa atau Pro M ini daripada memperjuangkan suara mahasiswa. Membawa tema Kepemimpinan, Keintelektualan, Kebajikan dan motto Sedia Mendokong Aspirasi Mahasiswa Sejagat ataupun SMART, Pro M dilihat sebagai sebuah badan yang lebih dekat kepada mahasiswa. Walaupun sering dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan seperti demonstrasi yang dilakukan Pro-M universiti-universiti lain, rata-rata warga USM melihat hubungan antara Pro M USM dan Pro M universiti lain seperti terputus dalam hal ini. Hal ini kerana, apabila berlaku sesebuah demonstrasi, Pro M USM dilihat seperti tidak ambil kisah tentang perkara tersebut, sebaliknya menumpukan perhatian kepada hal-hal yang lebih utama di universiti.  Identiti Pro M juga sering disamakan dengan Persatuan Mahasiswa Islam walaupun pada hakikatnya kedua-dua badan tersebut jelas berbeza. Meskipun berbeza, rata-rata pendokong Pro M USM dilihat membawa idea yang lebih islamik dan dianggotai kebanyakan warga USM yang cenderung kepada Islam secara kaffah ataupun menyeluruh. Pro M USM juga turut dianggotai pelajar-pelajar bukan bumiputera seperti Cina dan India. Keseluruhannya, Pro M USM boleh dikatakan sebagai sebuah badan yang ingin melakukan perubahan di USM.

Pro-Aspirasi USM.
Ketika Pro-M USM diibaratkan seperti parti pembangkang di luar kampus, Pro-Aspirasi USM ataupun Pro A ini pula lebih kerap dilambangkan sebagai parti pemerintah negara. Rasional, toleransi dan realistik yang dibawa sebagai motto mereka, menampakkan bahawa sikap diplomasi adalah teras utama dalam badan ini. Kebanyakan calon-calon Aspirasi akan bergerak dalam minggu-minggu orientasi dan diberi jawatan-jawatan penting supaya ketokohan dan kemampuan mereka akan menjadi lebih jelas, ini akan menjadi satu sokongan kepada undi di pihak mereka ketika pilihanraya kampus. Pro A USM juga menekankan semangat cintakan universiti sebagai teras utama dalam pergerakan mereka. Antara pelopor Apirasi USM yang kini sudah menjadi staf adalah saudara Zulkifli Che Hussin dan saudara Khairul Eruwan. Pro A USM juga menjadi tunggak kepada persatuan dan badan-badan USM kerana ramai anggota mereka mejadi penggerak utama persatuan-persatuan dan badan-badan tersebut. Keseluruhannya, Pro A USM boleh disimpulkan sebagai sebuah badan yang menyokong segala-segala cita universiti selagi mana keseimbangannya dengan kebajikan mahasiswa masih utuh. Pro A USM juga meyokong cita-cita dan aspirasi negara serta idea perpaduan 1 Malaysia dan menjadikan ia sebagai satu panduan ataupun "guidelines" dalam mengekspreskan cinta mereka kepada universiti.

"Lebih telus, lebih wibawa".


No comments:

Post a Comment