Tuesday 16 October 2012

[USM] Persidangan Dewan Perundingan Pelajar USM



Parlimen Mahasiswa Siri 1 bagi sidang 2012/2013 akan bersidang 10 November ini.

Ramai mahasiswa memandang tinggi kedudukan Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia(DPP) ini. Penggunaan perkataan parlimen sememangnya meletakkan satu tahap pernghormatan kepada DPP. Walaupun sehingga hari ini, DPP belum menampakkan autonomi dewan secara mantap sehingga kini, masih ramai yang beranggapan bahawa DPP masih mempunyai harapan yang besar dalam membawa suara mahasiswa.

Pernah diselar salah seorang pemimpin mahasiswa dari Universiti Malaya sebelum ini, saudara Mohd Syahid Mohd Zaini, yang menganggap bahawa Parlimen Mahasiswa tidak lebih dari sebuah boneka HEP. Melihatkan standing order dan batas kebebasan DPP, beliau menganggap DPP yang pada satu ketika menjadi harapan kepada pengembalian hak mahasiswa, jelas menghampakan. Beliau turut menekankan bahawa 3 prinsip utama yang perlu ada pada parlimen mahasiswa ialah autonomi, kebebasan dan demokrasi.

DPP diwujudkan bagi membincangkan isu-isu mahasiswa, namun kuasa dewan masih terbatas dengan kuasa pentadbiran universiti, menjadikan DPP gagal membawa idea mahasiswa kepada pelaksanaan sekiranya tidak mendapat persetujuan pihak pentadbiran universiti.

Seorang pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, ketika ditanya berkenaan DPP, mengulas bahawa DPP adalah salah satu langkah besar bagi memartabatkan mahasiswa. Tambah beliau, mahasiswa tidak sewajarnya membuat konklusi awal memandangkan DPP baru mengorak langkah. Mahasiswa sewajarnya berpandangan positif bahawa DPP akan diberikan hak membuat keputusan secara berperingkat. Ulas beliau lagi, sesetengah pihak yang cuba menyerang DPP adalah tidak relevan memandangkan terdapat usul-usul yang dibahaskan di dalam DPP telah berjaya dilaksanakan.

Meskipun demikian, terdapat juga yang masih berprasangka negatif dengan DPP. Seorang pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan(SoLLaT) menganggap bahawa DPP hanya berfungsi sebagai wayang kulit HEP. Beliau berkata, DPP ditubuhkan bagi menunjukkan kononnya kebebasan bersuara adalah salah satu agenda universiti, walhal mahasiswa masih dikongkong dengan autonomi pihak HEP yang sepatutnya adalah hak mahasiswa. Beliau menambah, jika benar ingin memberikan kebebasan pada mahasiswa, kembalikan autonomi kepada mahasiswa, tidak perlu untuk mengikut telunjuk HEP yang jelas tidak adil dalam melayan sesetengah kelompok mahasiswa.

Walaupun dilanda pelbagai mehnah dan halangan, DPP tetap berdiri teguh dan disokong banyak mahasiswa. Ramai berharap bahawa autonomi akan diberikan kepada DPP, cuma masanya belum tiba. Tuntasnya, DPP adalah simbol bahawa pentadbiran universiti bersedia untuk mendengar suara mahasiswa di Universiti Sains Malaysia.

"Lebih telus, lebih wibawa."

Friday 5 October 2012

[USM] Pro-Aspirasi dominasi PRKUSM.

Barisan Anggota Majlis Perwakilan Pelajar USM baru.


Aspirasi kekalkan penguasaan di Universiti Sains Malaysia(USM).

25 September yang lalu menyaksikan berlangsungnya Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia bagi sidang 2012/2013. Seperti yang telah dijangka, Pro-Aspirasi USM mendominasi hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan di kampus induk. Cuma 3 kerusi yang dimenangi kumpulan Pro-Mahasiswa sementera sebuah kumpulan yang baru ditubuhkan tahun ini, Cap Ayam, gagal meraih sebarang kerusi.

Selepas mesyuarat pertama ahli Majlis PerwakilanPelajar yang baru, Saudara Muhammad 'Ammar bin Mohd Aziz telah dipilih sebagai Yang Di-Pertua manakala saudara Mohamad Haziq bin Al Amir Mohd pula sebagai Naib Yang-Dipertua. Turut dilantik ialah saudari Norhana Mohd Tahir
selaku Setiausaha Agung dan saudara Chuah Wen Xu sebagai Bendahari Kehormat.

Saudara Ammar yang juga penghulu PPSL sidang ini, dilihat berpotensi untuk memimpin mahasiswa-mahasiswa Universiti Sains Malaysia. Beliau yang juga merupakan pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Biologi dilihat komited dalam menggalas amanah yang diberikan dan dalam membawa imej mahasiswa Universiti Sains Malaysia.

Walaupun Pilihanraya Kampus kali ini dilanda pelbagai kontroversi seperti fitnah dan salahguna wang, tiada sebarang protes lanjut yang dilakukan mana-mana pihak sehingga hai ini. Keadaan yang sedikit riuh-rendah sewaktu musim PRK dilihat telah kembali reda dan para pelajar kembali memberikan fokus kepada pelajaran.

"Lebih telus, lebih wibawa".


Muhammad 'Ammar bin Mohd Aziz 



Saturday 15 September 2012

[USM] 3 Acara Serentak di Kampus Induk Malam Ini.

Malam 15 September 2012 akan menyaksikan 3 acara dijalankan serentak di Universiti Sains Malaysia Kampus Induk.

3 acara tersebut ialah Malam Apresisasi Siswa Merdeka, Night at the Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah(MGTF) dan perlawanan bola persahabatan pasukan USM(pelajar). Paling mencuri tumpuan adalah Malam Apresiasi Mahasiswa Merdeka yang hampir keseluruhannya disertai pelajar-pelajar baru USM dan dibantu oleh pelajar-pelajar senior. Pada Malam Apresiasi Siswa Merdeka ini, para pelajar baru akan melakukan persembahan dan akan dinilai oleh juri-juri. Para pelajar baru ini juga akan bersaing antara satu sama lain mengikut desasiswa masing-masing. Acara ini akan dimulakan pada jam 8.30 malam.

Night at the Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah juga bukanlah acara sembarangan. Diletakkan di bawah proram Re: Generation, sebuah program di bawah 1Malaysia Contemporary Art Tourism. Program ini bukan sahaja melibatkan para pelajar USM, malah orang luar juga dijemput sekali untuk menghadiri sekali ini. Program ini telah bermula semalam dan akan berakhir pada hari esok, dan slot Night at the MGTF akan diadakan malam ini bermula jam 8.00.

Bagi penggemar sukan bolasepak pula, anda berpeluang untuk menonton perlawanan persahabatan bolasepak melibatkan pasukan pelajar USM. Pasukan tersebut yang menjalani sesi pemilihan pada minggu lepas akan memulakan aksi pada malam ini. Perlawanan akan bermula sekitar jam 8.00 malam dan anda semua dijemput hadir untuk menonton perlawanan tersebut.

"Lebih telus, lebih wibawa".



[USM] KadS1M untuk mahasiswa.



Mahasiswa terima KadS1M semalam 14 haribulan September 2011.

KadS1M ataupun Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia telah diagihkan kepada para mahasiswa bermula pagi semalam. Majlis penyerahan KadS1M tersebut telah dihadiri menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Seri Nor Mohamed Yakcop. Ketika berucap, beliau menekankan KadS1M ini adalah bukti keperihatinan kepada golongan mahasiswa.

Idea Kad Diskaun Siswa bukanlah suatu idea yang baru, tetapi ia telah lama dicadangkan sekitar tahun 2008-2009. Antara individu yang bertanggungjawab mencadangkan kad diskaun ini adalah mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang 2007/2008. Dikenali dengan nama, Che Mat, saudara Muhammad Syukri Ibrahim yang kini berkhidmat bersama Aspirasi Nasional, adalah antara individu awal yang mengutarakan keperluan mendapat diskaun dalam kalangan pelajar. Sepanjang perkhidmatannya sebagai YDP MPP USM, nama Syukri Ibrahim menjadi sebutan atas kewibawaannya dalam melaksanakan tugas.

Saudara Muhammad Syukri bin Ibrahim.
Antara buah fikiran asal yang tidak telaksana pada Kad Diskaun Siswa hari ini ialah diskaun bagi minyak petrol yang diguna untuk kenderaan para mahasiswa. Idea tersebut muncul kerana pada waktu tersebut harga minyak petrol adalah agak tinggi bagi keadaan ketika itu. Diharapkan pada masa hadapan pemimpin-pemimpin baru dapat membuat penambahbaikan kepada kad diskaun yang dapat membantu meringankan beban mahasiswa ini dan penambahbaikan yang dilakukan perlu dilihat daripada keperluan mahasiswa mengikut keadaan semasa. Kad Diskaun Siswa ini terbukti dapat membantu mahasiswa memastikan kewangan mereka sentiasa stabil dengan adanya pemberian diskaun dalam kebanyakan barang yang digunakan mereka.

Berikut disenaraikan beberapa kedai yang menerima Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia.

BUKU / ALAT TULIS
- MPH BOOKSTORES
- IMLAQ BOOK CENTRE
- BORDERS
RONA
KIANG TRADING
- KOPERASI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MALAYSIA BERHAD
- KOPERASI KEDAI BUKU UNIVERSITI MALAYA BERHAD
- KOPERASI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA BERHAD

KELENGKAPAN SUKAN / PERALATAN / PAKAIAN
BATA
- KOPERASI KELUARGA DATO' HAJI HASHIM MAMAT KUALA TERENGGANU BERHAD
TEXLINE LINO

KLINIK KESIHATAN / OPTOMETRI / CERMIN MATA
POLIKLINIK AN-NISA'
QUALITAS HEALTH
FOCUS POINT
MENARA OPTOMETRY

MAKANAN DAN MINUMAN
KFC
DAILY FRESH
A&W
COFFEE BERRY
- THE CHICKEN RICE SHOP
- RESTORAN KENNY CRAB
- SWEET CHAT
- LEGEND’S CLAYPOT BRIYANI HOUSE
- DUBU DUBU SEOUL FOOD
- MY JAVA COFFEE
- PANCAKE HOUSE INTERNATIONAL
STATION ONE PRODUCT
GLORIA JEAN’S COFFEES
BANGI KOPITIAM

PENGINAPAN
- ANCASA HOTELS & RESORTS
ANCASA HOTEL & SPA KUALA LUMPUR
ANCASA ALLSUITES RESORT & SPA PORT DICKSON
JEREJAK RAINFOREST RESORT PENANG
- ANCASA EXPRESS PUDU
TUNE HOTELS REGIONAL SERVICES SDN BHD
LEO EXPRESS HOTEL
- KOPERASI AL-TAQWA KAMPUNG KISAP LANGKAWI BERHAD
- KOPERASI GURU-GURU MELAYU KEDAH BERHAD
- KOPERASI MAJLIS GURU UGAMA MENENGAH BERHAD
- KOPERASI MELAYU BERJAWATAN KERAJAAN NEGERI SEMBILAN BERHAD
- RAKYAT TRAVEL SDN. BHD.

SALUN / PUSAT / PRODUK KECANTIKAN
- FOOT MASTER
PARIS HILL
PROACTIV
CLARA
- KOPERASI PUTRI TERBILANG MALAYSIA BERHAD

PRODUK IT
- KOPERASI CELCOM BERHAD
- KOPERASI PEGAWAI-PEGAWAI DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR BERHAD
- IFAMILY

LAIN-LAIN
BKZ BIKERZ
ROLLER STAR ARENA
DOUBLE SITE
- KOPERASI KAKITANGAN MAKTAB KERJASAMA MALAYSIA BERHAD
- KOPERASI KOLEJ KEMAHIRAN TINGGI BALIK PULAU BERHAD
MYDIN

Terima Kasih.

"Lebih telus, lebih wibawa".




Thursday 13 September 2012

Introduksi Bebas, Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi.



Bebas, Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi sebagai tiga platform bagi calon Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia(USM).

Di USM, terdapat tiga plaform bagi mahasiswa untuk bertanding seperti yang dinyatakan di atas. Meskipun demikian, masih ada pihak yang menafikan wujudnya ketiga-tiga platform ini dan memandang cuma satu platform yang wujud iaitu platform sebagai calon Bebas.

Bebas.
Bebas bukanlah sebuah platform yang menyerupai sebuah parti politik. Calon yang bertanding sebagai calon bebas tidak terikat dengan mana-mana ideologi atau doktrinisasi. Calon yang bertanding sebagai calon bebas juga boleh membawa sebarang manifesto tanpa perlu terikut-ikut idea sepertimana calon-calon Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. Penyertaan sebagai calon bebas, walaubagaimanapun, dilihat sebagai sesuatu yang memerlukan kerja keras kerana calon bebas terpaksa meraih undi dengan lebih komprehensif untuk mendapatkan "crowd" mereka sendiri sedangkan calon Pro Mahasiswa ataupun Pro Aspirasi sudah mempunyai "crowd" dari awal lagi memandangkan penyertaan mereka ibarat sebuah parti.

Pro-Mahasiswa USM.
Dilihat ibarat parti pembangkang di luar kampus tidak pernah menghentikan pasukan Pro Mahasiswa atau Pro M ini daripada memperjuangkan suara mahasiswa. Membawa tema Kepemimpinan, Keintelektualan, Kebajikan dan motto Sedia Mendokong Aspirasi Mahasiswa Sejagat ataupun SMART, Pro M dilihat sebagai sebuah badan yang lebih dekat kepada mahasiswa. Walaupun sering dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan seperti demonstrasi yang dilakukan Pro-M universiti-universiti lain, rata-rata warga USM melihat hubungan antara Pro M USM dan Pro M universiti lain seperti terputus dalam hal ini. Hal ini kerana, apabila berlaku sesebuah demonstrasi, Pro M USM dilihat seperti tidak ambil kisah tentang perkara tersebut, sebaliknya menumpukan perhatian kepada hal-hal yang lebih utama di universiti.  Identiti Pro M juga sering disamakan dengan Persatuan Mahasiswa Islam walaupun pada hakikatnya kedua-dua badan tersebut jelas berbeza. Meskipun berbeza, rata-rata pendokong Pro M USM dilihat membawa idea yang lebih islamik dan dianggotai kebanyakan warga USM yang cenderung kepada Islam secara kaffah ataupun menyeluruh. Pro M USM juga turut dianggotai pelajar-pelajar bukan bumiputera seperti Cina dan India. Keseluruhannya, Pro M USM boleh dikatakan sebagai sebuah badan yang ingin melakukan perubahan di USM.

Pro-Aspirasi USM.
Ketika Pro-M USM diibaratkan seperti parti pembangkang di luar kampus, Pro-Aspirasi USM ataupun Pro A ini pula lebih kerap dilambangkan sebagai parti pemerintah negara. Rasional, toleransi dan realistik yang dibawa sebagai motto mereka, menampakkan bahawa sikap diplomasi adalah teras utama dalam badan ini. Kebanyakan calon-calon Aspirasi akan bergerak dalam minggu-minggu orientasi dan diberi jawatan-jawatan penting supaya ketokohan dan kemampuan mereka akan menjadi lebih jelas, ini akan menjadi satu sokongan kepada undi di pihak mereka ketika pilihanraya kampus. Pro A USM juga menekankan semangat cintakan universiti sebagai teras utama dalam pergerakan mereka. Antara pelopor Apirasi USM yang kini sudah menjadi staf adalah saudara Zulkifli Che Hussin dan saudara Khairul Eruwan. Pro A USM juga menjadi tunggak kepada persatuan dan badan-badan USM kerana ramai anggota mereka mejadi penggerak utama persatuan-persatuan dan badan-badan tersebut. Keseluruhannya, Pro A USM boleh disimpulkan sebagai sebuah badan yang menyokong segala-segala cita universiti selagi mana keseimbangannya dengan kebajikan mahasiswa masih utuh. Pro A USM juga meyokong cita-cita dan aspirasi negara serta idea perpaduan 1 Malaysia dan menjadikan ia sebagai satu panduan ataupun "guidelines" dalam mengekspreskan cinta mereka kepada universiti.

"Lebih telus, lebih wibawa".


[USM] 367 Borang PRK Dikeluarkan Sehingga jam 4.

Mantan NYDP RKM sidang 2011/2012.


13 haribulan September 2012, borang pencalonan Pilihanraya Kampus(PRK) dikeluarkan oleh pihak HEP.

Seperti yang pernah dikeluarkan dalam artikel USMKini sebelum ini, hari ini adalah hari borang pencalonan PRK dikeluarkan oleh pihak USM. Daripada maklumat yang kami terima, sebanyak 367 borang telah diambil sehingga pukul 4.00 petang tadi. Jumlah yang agak mengejutkan sekiranya 367 orang yang mengambil borang tersebut semuanya ingin bertanding.

Namun, ketika ditanya kepada para pengambil borang, mereka menafikan akan bertanding dalam PRK kali ini, sebaliknya membantu rakan-rakan mereka yang ingin bertanding. Sebagai langkah berjaga-jaga, persediaan borang yang lebih dilihat dapat membantu sekiranya sesuatu perkara di luar jangkaan berlaku. Menurut seorang pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi, beliau disuruh mengambil borang bagi calon yang  akan bertanding dalam PRK kali ini.

Mantan Naib Yang Dipertua Rancangan Khidmat Masyarakat sidang lepas, saudara Norazrizal Aswad Abdul Rahman yang kami temui di kaunter mengambil borang HEP, menyatakan bahawa beliau berminat untuk bertanding dalam PRK kali ini. Beliau yang juga pelajar tahun akhir, meyatakan bahawa beliau cenderung untuk bertanding bagi konstituensi umum berbanding konstituensi pusat pengajian. Beberapa pelajar USM lain seperti Penghulu PPSL, saudara Ammar Aziz dan saudara Au Lim Ping juga dilihat sebagai antara yang berpotensi dalam PRK kali ini selain saudara Norazrizal Aswad.

"Lebih telus, lebih wibawa".




Wednesday 12 September 2012

Pelajar UKM Guris hati warga Sarawak.



Seorang Pelajar UKM daripada Jurusan Kewangan dan Perbankan, Mohd Yusri Bin Hidrus telah memberikan hujah yang negatif berkenaan Negeri Sarawak ketika program Bicara Kampus di TV1 ahad lalu. Tajuk yang dikupas dalam Bicara Kampus tersebut adalah berkenaan Integriti Nasional.

Mohd Yusri yang juga salah seorang pendebat UKM, malah pernah dinobatkan sebagai pendebat terbaik Debat Perdana Integriti, pada mulanya mengulas mengapa beliau tidak bersetuju sekiranya Sarawak diberi royalti daripada sumber-sumber seperti minyak, gas asli dan kayu balak.

Berikut adalah antara hujah yang dikemukakan oleh pelajar UKM tersebut.

1. Mohd Yusri berpendapat bahawa royalti minyak sebanyak 5% perlu dikaji semula dan dilebihkan kepada pembangunan di Semenajung Malaysia kerana pusat pentadbiran kerajaan Malaysia banyak terletak di Semenanjung.

2. Beliau juga berpandangan bahawa jumlah royalti minyak sebanyak 5% kepada negeri Sarawak itu lebih baik daripada tidak diberikan langsung oleh Kerajaan Persekutuan.

3. Beliau juga menganggap Sarawak adalah sebuah negeri yang cukup maju dengan hujah bahawa wujud restoran makanan segera McDonald di ibu negeri Sarawak, Kuching.

4. Beliau mengatakan bahawa tidak wajar untuk menyalahkan warga semenanjung yang bekerja di Sarawak kerana kebanyakan warga Sarawak lebih gemar menjadi petani dan nelayan.

Penghujahan beliau sekaligus mencalarkan nama Universiti Kebangsaan Malaysia yang berdiri sebagai antara universiti terbaik di Malaysia. Pada masa hadapan, pihak RTM TV1 perlulah melakukan penilaian yang sebaiknya dalam usaha memilih panel bagi rancangan-rancangan mereka supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

"Lebih telus, lebih wibawa".

Monday 10 September 2012

[USM] Lambakan pelajar USM tanpa desasiswa.




Beratus-ratus pelajar USM terpaksa membuat rayuan semula untuk mendapatkan desasiswa.

Para pelajar yang gagal mendapat desa telah melakukan rayuan di Unit Perumahan dan Penginapan Universiti(UPPU) hari ini. Sejumlah borang telah diterima dan akan diproses. Walaubagaimanapun, rayuan ini masih tidak menjamin sama ada perayu tersebut akan mendapat desasiswa.

Ketika ditanya, salah seorang pegawai UPPU telah menyatakan bahawa kebanyakan bilik sudah penuh disebabkan kemasukan kali ini yang ramai. Turut mengisi bilik-bilik di desasiswa adalah para pelajar pasca sarjana (Master dan PhD) yang turut memohon untuk menginap. Perkara ini menyebabkan USM kesuntukan bilik dan ramai pelajar terpaksa mencari rumah sendiri di luar kampus USM. Pegawai tersebut juga menyatakan bahawa kebarangkalian untuk para perayu mendapat bilik adalah agak rendah memandangkan jumlah bilik yang masih beum terisi amat sedikit dan jumlah yang memohon terlalu ramai.

Seorang pelajar daripada Pusat Pengajian Sains Masyarakat mengulas bahawa perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak pentadbiran USM pada masa akan datang. Hal ini bukanlah sesuatu hal yang remeh kerana urusan mencari rumah di luar kampus akan menjejaskan mahasiswa terutamanya dari segi kewangan. Jumlah pelajar di USM juga perlulah dikaji semula bagi mengelak terulangnya perkara ini. Tambah beliau, pentadbiran USM perlu mengkaji semula mengenai cara pemilihan penghuni bagi desasiswa-desasiswa kerana banyak mahasiswa yang tidak mendapat desa walaupun mereka sebenarnya layak.


“Lebih Telus, Lebih wibawa”. 

Saturday 8 September 2012

[USM] Ratusan Pelajar Baru Gagal Daftar Ko-kurikulum.


Ratusan pelajar baru USM terpaksa menunggu minggu seterusnya untuk membuat rayuan pendaftaran subjek ko-kurikulum(Ko-K).
                    
Pada 4 September yang lalu, para pelajar baru USM telah diperuntukkan satu slot untuk mendaftar Ko-K . Walaubagaimanapun, pendaftaran telah dibuka sejak malam sebelumnya iaitu pada 3 September.

Para pelajar yang tidak sempat mendaftar pada malam tersebut telah menyerahkan borang pendaftaran Ko-K kepada anggota PPSL, dengan harapan agar anggota PPSL dapat membantu menyerahkan borang-borang tersebut pada keesokan harinya dengan lebih cepat. Hal ini kerana sesetengah Ko-K telah menetapkan kuota maksimum ahli.

Disebabkan oleh maklumat yang tidak cukup mengenai pendaftaran Ko-K di pihak PPSL, hanya sebahagian borang berjaya diserahkan kepada pihak-pihak rancangan Ko-K, manakala ratusan lain dikira gagal mendaftar ko-K. Hal ini kerana terdapat anggota PPSL yang memegang borang sehingga tamat waktu pendaftaran, beranggapan bahawa Ko-K boleh didaftarkan pada bila-bila masa.

Yang Dipertua Rancangan Khidmat Masyarakat(RKM), Saudara Azmir Osman, ketika dihubungi, menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang akan menyusahkan para pelajar baru, kerana mereka perlu melakukan rayuan semula pada minggu semester bermula. Pendaftaran RKM misalnya, hanya membenarkan pendaftaran ahli dengan jumlah maksimum 300 orang. Hal ini menyebabkan mereka yang terlambat mendaftar, terpaksa ditolak dan mereka perlu membuat rayuan semula pada minggu-minggu seterusnya, dengan harapan terdapat anggota RKM yang menggugurkan kursus tersebut.

Beliau turut berharap perkara ini tidak lagi akan berlaku di masa akan datang dan solusi perkara sebegini perlulah dicari sama ada PPSL diberikan penerangan terlebih dahulu mengenai pendaftartan Ko-K, ataupun PPSL tidak terlibat langsung. Beliau tidak menyalahkan PPSL kerana perkara yang berlaku ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Beliau menambah, senarai ahli RKM akan dikeluarkan minggu hadapan dan akan ditampal di papan kenyataan Pusat Ko-K.

“Lebih telus, lebih wibawa”.


YDP Rancangan Khidmat Masyarakat



Friday 7 September 2012

[USM] Pimpin Siswa USM Seawal Hari Ini.



Pimpin Siswa Universiti Sains Malaysia bermula Jumaat, 7 September 2012.

Hari ini para mahasiswa baru Universiti Sains Malaysia memulakan Pimpin Siswa, sebuah program yang diwajibkan kepada semua pelajar baru, dianjurkan oleh Sektor Sahsiah dan Pembangunan Pelajar USM dan berlangsung selama lebih kurang sebulan. Pada tahun ini, Pimpin Siswa dijalankan lebih awal, pada tahun-tahun sebelum ini, Pimpin Siswa tidak pernah dijalankan ketika minggu pertama.

Pada pandangan umum, Pimpin Siswa kali ini dilihat agak tergesa-gesa kerana Minggu Siswa Lestari baru sahaja berakhir. Namun, mungkin ada sebab yang munasabah mengapa Pimpin Siswa ini dipercepatkan.
Seorang pelajar tahun satu dari Pusat Pengajian Sains Kimia mengulas bahawa sewajarnya pihak pentadbiran universiti memberi rehat kepada mereka untuk seketika sebelum memulakan program seterusnya. Hal ini kerana Minggu Siswa Lestari hakikatnya meletihkan. Walaubagaimanapun, beliau turut menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakan dari pusat-pusat pengajian lain tidak sabar untuk mengikuti program Pimpin Siswa tersebut.

Turut timbul spekulasi di pihak para pelajar lama yang beranggapan bahawa Pimpin Siswa diadakan lebih awal bagi membolehkan calon-calon Pilihanraya Kampus memulakan kempen di kem-kem Pimpin Siswa. Mereka berpendapat, dengan adanya Pimpin Siswa yang lebih awal, para calon yang mencadi jurulatih Pimpin Siswa dapat meraih undi sekurang-kurangnya daripada mahasiswa tahun pertama. Lebih-lagi apabila kesemua 3 siri Pimpin Siswa tamat sebelum pilihanraya kampus walhal pada tahun-tahun sebelum ini menjalankan 4 siri.

Spekulasi-spekulasi ini kemudiannya dinafikan secara tegas oleh seorang anggota Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan yang juga terlibat dalam program Pimpin Siswa. Beliau berkata bahawa Pimpin Siswa ini secara jelasnya adalah untuk membentuk jati diri mahasiswa-mahasiswa baru USM. Modul-modul yang disediakan telah dikaji sebelum dilaksanakan dan para jurulatih Pimpin Siswa semuanya bukancalang-calang orang. Mereka telah diberikan latihan yang mantap dan bersedia untuk memimpin para pelajar baru. Mustahil ada pihak menjadikan Pimpin Siswa ini sebagai medan mencapai agenda lain.

“Lebih telus, lebih wibawa”.





Thursday 6 September 2012

[USM] Pilihanraya Kampus USM 25 September?


Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia sidang 2012/2013.

Pilihanraya kampus(PRK) adalah sesuatu yang dinanti-natikan oleh para mahasiswa. Malah, ada yang melabelkan PRK ini sebagai satu peralihan kuasa. Daripada yang lama kepada yang baru, daripada yang kurang baik kepada lebih baik.

Di USM, Majlis Perwakilan Pelajar sedia ada telah  terlalu lama memegang jawatan mereka, iaitu sekitar satu tahun enam bulan. PRK untuk sidang lepas terpaksa ditangguhkan atas pelbagai alasan. Baru-baru ini tersebar berita bahawa PRKUSM akan diadakan pada 25 September 2012 dan borang akan dikeluarkan pada 13 September.

Walaubagaimanapun, tarikh tersebut masih belum dapat disahkan berikutan para pelajar senior masih lagi belum memulakan sidang. Turut timbul juga pendapat bahawa tarikh tersebut mungkin akan ditunda kerana terlalu awal.

Seandainya PRK diadakan pada tarikh tersebut, ia akan memberi kelebihan yang besar kepada para calon yang menjadi PPSL kerana mereka lebih terdedah kepada pergaulan dengan para pelajar baru, dan tidak dapat dinafikan ini akan memberi satu limpahan undi kepada mereka. Hal ini kerana majoriti pelajar memilih mengundi berdasarkan 'kenal atau tidak kenal', rata-rata pelajar tidak mengetahui sikap calon-calon MPP, melainkan yang bertanding adalah sahabat mereka.

Jadi, bersediakah kita menempuh 25 September ini?

"Lebih telus, lebih wibawa".


[USM] "Gangnam Style" Gegarkan USM.



Gangnam Style tiba di Universiti Sains Malaysia.

Tarian Gangnam Style yang dinyanyikan oleh PSY ditarikan dengan meriahnya sewaktu slot Walkrobik minggu orientasi semalam. Tarian itu yang dikoreografi semula oleh Dr. George Teoh Boon Sai dilihat berjaya menggamatkan Dewan Tuanku Syed Putra.

Saat lagu Gangnam Style diputarkan, kedengaran suara para mahasiswa baru riuh bersorak, slot Walkrobik kali ini berjaya untuk menarik minat para pelajar baru yang masing-masing cukup 'sporting untuk tutut serta dalam tarian Gangnam Style ini.

Meskipun rata-rata mahasiswa baru menganggap walkrobik ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan, ada juga yang berpendapat sebaliknya. Seorang pelajar baru yang mahu namanya dirahsiakan, beranggapan bahawa pemilihan Gangnam Style sebagai lagu bagi Walkrobik menggambarkan bahawa budaya luar mudah menyerap masuk ke USM. Pelajar tersebut, meskipun tidak seratus-peratus menentang, beranggapan bahawa sesuatu yang lebih dekat dengan budaya kita mungkin lebih sesuai di samping mengekalkan nilai-nilai setempat.

Tarian Gangnam Style tersebut juga telah disertai oleh ramai pegawai USM termasuklah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, dan ia menjadi sesuatu yang 'gempak' kerana tarian tersebut kini digilai peminat di seluruh dunia. Kini ia ditarikan di USM.

"Lebih telus, lebih wibawa".




Wednesday 5 September 2012

[USM] Orientasi menuju kejayaan.


Minggu Siswa Lestari Univesiti Sains Malaysia Ambilan September 2012.

Berbekal doa ibu dan ayah, berbekal semangat, para pelajar baru Universiti Sains Malaysia(USM) telah mendaftar dengan jayanya. Meskipun, Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan baru saja berlalu, semangat menuntut ilmu yang ditunjukkan mahasiswa-mahasiswa baru ini berhak mendapat kepujian.

USM menerima kira-kira 4285 pelajar meliputi ketiga-tiga kampus termasuk di Induk (2812), Kampus Kejuruteraan (739) dan Kampus Kesihatan (734). Jumlah 4285 ini tidak termasuk dengan pengambilan akan datang bagi sidang 2012-2013.


Pada Minggu Siswa Lestari ini juga, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Omar Osman turut menyempatkan diri untuk memberikan ucapan kepada mahasiswa-mahasiswa baru USM. Beliau memberi harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada para mahasiswa baru, "Jalan telah tersedia luas, yang tinggal cuma perlu mengorak langkah".

Penghulu PPSL USM, saudara Ammar Aziz, juga perlu diberikan pujian atas kesungguhannya menggerakkan pasukan PPSL yang menjadi tonggak utama Minggu Siswa Lestari ni. Tanpa khidmat PPSL, mungkin pergerakan minggu ini akan menjadi sesuatu yang menyukarkan semua pihak.

"Lebih Telus, Lebih Wibawa".




Tuesday 4 September 2012

USMKini, satu alternatif.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

USMKini adalah satu percubaan untuk mewujudkan media alternatif di Universiti Sains Malaysia. Seperti yang semua sedia maklum, pergerakan informasi mengenai USM tidak pernah dijalankan secara teratur.

Jadi, dengan terwujudnya USMKini, satu sumber alternatif yang lebih kukuh mengenai kampus Universiti Sains Malaysia berjaya diwujudkan.

USMKini juga mengalu-alukan sebarang artikel mengenai aktiviti atau isu di USM untuk dihantar ke admin USMKini. Bersama-sama kita menghasilkan keluarga USM yang lebih cakna kepada aktiviti dan isu semasa.

"Lebih telus, lebih wibawa".