Thursday 7 March 2013

Lahad Datu terkawal?


Dewan Pembangunan Siswa, 6 Mac 2013 – Pertemuan antara Pegawai Khas Yang Amat Berhormat(YAB) Menteri Besar Sabah dengan Perkumpulan Siswa Siswi Sabah(PERSIS) bagi membincangkan mengenai isu semasa di negeri Sabah. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah IR. DR. Sheik Husin Mydin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang dan Dato’ Haji Awang Kading, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah.

Dalam Majlis tersebut, Pegawai Khas tersebut, Encik Jo, menegaskan bahawa keadaan di Sabah masih dalam keadaan terkawal ketika ini. Tambah beliau, penceroboh-penceroboh di Lahad Datu cuma menyerang anggota keselamatan negara dan bukan orang awam. Setakat ini dilaporkan kematian dalam kalangan orang awam masih sifar. Beliau juga berkata, YAB Menteri Besar Sabah juga telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin etnik Suluk di Sabah yang dikaitkan dengan pencerobohan tersebut dan ternyata mereka 100% menolak tindakan pengganas tersebut.

Beliau juga turut menyampaikan amanat YAB agar para pelajar dan pekerja dari Sabah yang merantau ke Pulau Mutiara ini agar tidak risau keadaan di Sabah. Kerajaan di sana sentiasa memantau keselamatan di seluruh negeri Sabah. Selain itu, para pelajar Sabah di USM diminta untuk mengekalkan fokus mereka sepenuhnya pada pelajaran.

Ketika sesi soal jawab, para pelajar bangkit menimbulkan beberapa soalan berkenaan krisis Lahad Datu seperti kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang bukan kelahiran Sabah ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan keraguan mengenai kawalan anggota keselamatan di perairan negara sehingga membolehkan 150 orang penceroboh bersenjata berat berjaya bolos. Menolak untuk menjawab kebanyakan soalan atas alasan sensitiviti, Encik Jo menegaskan bahawa anggota keselamatan telah melakukan yang terbaik, dan kita perlu faham apabila seseorang ingin melakukan kejahatan, segala metod akan difikirkan.

Salah seorang pelajar dari Sabah yang ditemubual berkata, banyak khabar angin yang didengari berkenaan Sabah. Antaranya perintah berkurung yang dikeluarkan sejak minggu lepas. Walaubagaimanapun beliau bersyukur kerana keadaan di Sabah sudah semakin tenang akhir-akhir ini berikutan kawalan ketat oleh anggota keselamatan negara. Beliau juga berpesan agar rakan-rakan mahasiswa tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita yang datang kerana kebanyakan berita tersebut sekadar khabar angin yang tidak boleh dipercayai 100%.


Tuesday 16 October 2012

[USM] Persidangan Dewan Perundingan Pelajar USM



Parlimen Mahasiswa Siri 1 bagi sidang 2012/2013 akan bersidang 10 November ini.

Ramai mahasiswa memandang tinggi kedudukan Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia(DPP) ini. Penggunaan perkataan parlimen sememangnya meletakkan satu tahap pernghormatan kepada DPP. Walaupun sehingga hari ini, DPP belum menampakkan autonomi dewan secara mantap sehingga kini, masih ramai yang beranggapan bahawa DPP masih mempunyai harapan yang besar dalam membawa suara mahasiswa.

Pernah diselar salah seorang pemimpin mahasiswa dari Universiti Malaya sebelum ini, saudara Mohd Syahid Mohd Zaini, yang menganggap bahawa Parlimen Mahasiswa tidak lebih dari sebuah boneka HEP. Melihatkan standing order dan batas kebebasan DPP, beliau menganggap DPP yang pada satu ketika menjadi harapan kepada pengembalian hak mahasiswa, jelas menghampakan. Beliau turut menekankan bahawa 3 prinsip utama yang perlu ada pada parlimen mahasiswa ialah autonomi, kebebasan dan demokrasi.

DPP diwujudkan bagi membincangkan isu-isu mahasiswa, namun kuasa dewan masih terbatas dengan kuasa pentadbiran universiti, menjadikan DPP gagal membawa idea mahasiswa kepada pelaksanaan sekiranya tidak mendapat persetujuan pihak pentadbiran universiti.

Seorang pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, ketika ditanya berkenaan DPP, mengulas bahawa DPP adalah salah satu langkah besar bagi memartabatkan mahasiswa. Tambah beliau, mahasiswa tidak sewajarnya membuat konklusi awal memandangkan DPP baru mengorak langkah. Mahasiswa sewajarnya berpandangan positif bahawa DPP akan diberikan hak membuat keputusan secara berperingkat. Ulas beliau lagi, sesetengah pihak yang cuba menyerang DPP adalah tidak relevan memandangkan terdapat usul-usul yang dibahaskan di dalam DPP telah berjaya dilaksanakan.

Meskipun demikian, terdapat juga yang masih berprasangka negatif dengan DPP. Seorang pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan(SoLLaT) menganggap bahawa DPP hanya berfungsi sebagai wayang kulit HEP. Beliau berkata, DPP ditubuhkan bagi menunjukkan kononnya kebebasan bersuara adalah salah satu agenda universiti, walhal mahasiswa masih dikongkong dengan autonomi pihak HEP yang sepatutnya adalah hak mahasiswa. Beliau menambah, jika benar ingin memberikan kebebasan pada mahasiswa, kembalikan autonomi kepada mahasiswa, tidak perlu untuk mengikut telunjuk HEP yang jelas tidak adil dalam melayan sesetengah kelompok mahasiswa.

Walaupun dilanda pelbagai mehnah dan halangan, DPP tetap berdiri teguh dan disokong banyak mahasiswa. Ramai berharap bahawa autonomi akan diberikan kepada DPP, cuma masanya belum tiba. Tuntasnya, DPP adalah simbol bahawa pentadbiran universiti bersedia untuk mendengar suara mahasiswa di Universiti Sains Malaysia.

"Lebih telus, lebih wibawa."

Friday 5 October 2012

[USM] Pro-Aspirasi dominasi PRKUSM.

Barisan Anggota Majlis Perwakilan Pelajar USM baru.


Aspirasi kekalkan penguasaan di Universiti Sains Malaysia(USM).

25 September yang lalu menyaksikan berlangsungnya Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia bagi sidang 2012/2013. Seperti yang telah dijangka, Pro-Aspirasi USM mendominasi hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan di kampus induk. Cuma 3 kerusi yang dimenangi kumpulan Pro-Mahasiswa sementera sebuah kumpulan yang baru ditubuhkan tahun ini, Cap Ayam, gagal meraih sebarang kerusi.

Selepas mesyuarat pertama ahli Majlis PerwakilanPelajar yang baru, Saudara Muhammad 'Ammar bin Mohd Aziz telah dipilih sebagai Yang Di-Pertua manakala saudara Mohamad Haziq bin Al Amir Mohd pula sebagai Naib Yang-Dipertua. Turut dilantik ialah saudari Norhana Mohd Tahir
selaku Setiausaha Agung dan saudara Chuah Wen Xu sebagai Bendahari Kehormat.

Saudara Ammar yang juga penghulu PPSL sidang ini, dilihat berpotensi untuk memimpin mahasiswa-mahasiswa Universiti Sains Malaysia. Beliau yang juga merupakan pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Biologi dilihat komited dalam menggalas amanah yang diberikan dan dalam membawa imej mahasiswa Universiti Sains Malaysia.

Walaupun Pilihanraya Kampus kali ini dilanda pelbagai kontroversi seperti fitnah dan salahguna wang, tiada sebarang protes lanjut yang dilakukan mana-mana pihak sehingga hai ini. Keadaan yang sedikit riuh-rendah sewaktu musim PRK dilihat telah kembali reda dan para pelajar kembali memberikan fokus kepada pelajaran.

"Lebih telus, lebih wibawa".


Muhammad 'Ammar bin Mohd Aziz 



Saturday 15 September 2012

[USM] 3 Acara Serentak di Kampus Induk Malam Ini.

Malam 15 September 2012 akan menyaksikan 3 acara dijalankan serentak di Universiti Sains Malaysia Kampus Induk.

3 acara tersebut ialah Malam Apresisasi Siswa Merdeka, Night at the Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah(MGTF) dan perlawanan bola persahabatan pasukan USM(pelajar). Paling mencuri tumpuan adalah Malam Apresiasi Mahasiswa Merdeka yang hampir keseluruhannya disertai pelajar-pelajar baru USM dan dibantu oleh pelajar-pelajar senior. Pada Malam Apresiasi Siswa Merdeka ini, para pelajar baru akan melakukan persembahan dan akan dinilai oleh juri-juri. Para pelajar baru ini juga akan bersaing antara satu sama lain mengikut desasiswa masing-masing. Acara ini akan dimulakan pada jam 8.30 malam.

Night at the Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah juga bukanlah acara sembarangan. Diletakkan di bawah proram Re: Generation, sebuah program di bawah 1Malaysia Contemporary Art Tourism. Program ini bukan sahaja melibatkan para pelajar USM, malah orang luar juga dijemput sekali untuk menghadiri sekali ini. Program ini telah bermula semalam dan akan berakhir pada hari esok, dan slot Night at the MGTF akan diadakan malam ini bermula jam 8.00.

Bagi penggemar sukan bolasepak pula, anda berpeluang untuk menonton perlawanan persahabatan bolasepak melibatkan pasukan pelajar USM. Pasukan tersebut yang menjalani sesi pemilihan pada minggu lepas akan memulakan aksi pada malam ini. Perlawanan akan bermula sekitar jam 8.00 malam dan anda semua dijemput hadir untuk menonton perlawanan tersebut.

"Lebih telus, lebih wibawa".



[USM] KadS1M untuk mahasiswa.



Mahasiswa terima KadS1M semalam 14 haribulan September 2011.

KadS1M ataupun Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia telah diagihkan kepada para mahasiswa bermula pagi semalam. Majlis penyerahan KadS1M tersebut telah dihadiri menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Seri Nor Mohamed Yakcop. Ketika berucap, beliau menekankan KadS1M ini adalah bukti keperihatinan kepada golongan mahasiswa.

Idea Kad Diskaun Siswa bukanlah suatu idea yang baru, tetapi ia telah lama dicadangkan sekitar tahun 2008-2009. Antara individu yang bertanggungjawab mencadangkan kad diskaun ini adalah mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang 2007/2008. Dikenali dengan nama, Che Mat, saudara Muhammad Syukri Ibrahim yang kini berkhidmat bersama Aspirasi Nasional, adalah antara individu awal yang mengutarakan keperluan mendapat diskaun dalam kalangan pelajar. Sepanjang perkhidmatannya sebagai YDP MPP USM, nama Syukri Ibrahim menjadi sebutan atas kewibawaannya dalam melaksanakan tugas.

Saudara Muhammad Syukri bin Ibrahim.
Antara buah fikiran asal yang tidak telaksana pada Kad Diskaun Siswa hari ini ialah diskaun bagi minyak petrol yang diguna untuk kenderaan para mahasiswa. Idea tersebut muncul kerana pada waktu tersebut harga minyak petrol adalah agak tinggi bagi keadaan ketika itu. Diharapkan pada masa hadapan pemimpin-pemimpin baru dapat membuat penambahbaikan kepada kad diskaun yang dapat membantu meringankan beban mahasiswa ini dan penambahbaikan yang dilakukan perlu dilihat daripada keperluan mahasiswa mengikut keadaan semasa. Kad Diskaun Siswa ini terbukti dapat membantu mahasiswa memastikan kewangan mereka sentiasa stabil dengan adanya pemberian diskaun dalam kebanyakan barang yang digunakan mereka.

Berikut disenaraikan beberapa kedai yang menerima Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia.

BUKU / ALAT TULIS
- MPH BOOKSTORES
- IMLAQ BOOK CENTRE
- BORDERS
RONA
KIANG TRADING
- KOPERASI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MALAYSIA BERHAD
- KOPERASI KEDAI BUKU UNIVERSITI MALAYA BERHAD
- KOPERASI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA BERHAD

KELENGKAPAN SUKAN / PERALATAN / PAKAIAN
BATA
- KOPERASI KELUARGA DATO' HAJI HASHIM MAMAT KUALA TERENGGANU BERHAD
TEXLINE LINO

KLINIK KESIHATAN / OPTOMETRI / CERMIN MATA
POLIKLINIK AN-NISA'
QUALITAS HEALTH
FOCUS POINT
MENARA OPTOMETRY

MAKANAN DAN MINUMAN
KFC
DAILY FRESH
A&W
COFFEE BERRY
- THE CHICKEN RICE SHOP
- RESTORAN KENNY CRAB
- SWEET CHAT
- LEGEND’S CLAYPOT BRIYANI HOUSE
- DUBU DUBU SEOUL FOOD
- MY JAVA COFFEE
- PANCAKE HOUSE INTERNATIONAL
STATION ONE PRODUCT
GLORIA JEAN’S COFFEES
BANGI KOPITIAM

PENGINAPAN
- ANCASA HOTELS & RESORTS
ANCASA HOTEL & SPA KUALA LUMPUR
ANCASA ALLSUITES RESORT & SPA PORT DICKSON
JEREJAK RAINFOREST RESORT PENANG
- ANCASA EXPRESS PUDU
TUNE HOTELS REGIONAL SERVICES SDN BHD
LEO EXPRESS HOTEL
- KOPERASI AL-TAQWA KAMPUNG KISAP LANGKAWI BERHAD
- KOPERASI GURU-GURU MELAYU KEDAH BERHAD
- KOPERASI MAJLIS GURU UGAMA MENENGAH BERHAD
- KOPERASI MELAYU BERJAWATAN KERAJAAN NEGERI SEMBILAN BERHAD
- RAKYAT TRAVEL SDN. BHD.

SALUN / PUSAT / PRODUK KECANTIKAN
- FOOT MASTER
PARIS HILL
PROACTIV
CLARA
- KOPERASI PUTRI TERBILANG MALAYSIA BERHAD

PRODUK IT
- KOPERASI CELCOM BERHAD
- KOPERASI PEGAWAI-PEGAWAI DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR BERHAD
- IFAMILY

LAIN-LAIN
BKZ BIKERZ
ROLLER STAR ARENA
DOUBLE SITE
- KOPERASI KAKITANGAN MAKTAB KERJASAMA MALAYSIA BERHAD
- KOPERASI KOLEJ KEMAHIRAN TINGGI BALIK PULAU BERHAD
MYDIN

Terima Kasih.

"Lebih telus, lebih wibawa".




Thursday 13 September 2012

Introduksi Bebas, Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi.



Bebas, Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi sebagai tiga platform bagi calon Pilihanraya Kampus Universiti Sains Malaysia(USM).

Di USM, terdapat tiga plaform bagi mahasiswa untuk bertanding seperti yang dinyatakan di atas. Meskipun demikian, masih ada pihak yang menafikan wujudnya ketiga-tiga platform ini dan memandang cuma satu platform yang wujud iaitu platform sebagai calon Bebas.

Bebas.
Bebas bukanlah sebuah platform yang menyerupai sebuah parti politik. Calon yang bertanding sebagai calon bebas tidak terikat dengan mana-mana ideologi atau doktrinisasi. Calon yang bertanding sebagai calon bebas juga boleh membawa sebarang manifesto tanpa perlu terikut-ikut idea sepertimana calon-calon Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi. Penyertaan sebagai calon bebas, walaubagaimanapun, dilihat sebagai sesuatu yang memerlukan kerja keras kerana calon bebas terpaksa meraih undi dengan lebih komprehensif untuk mendapatkan "crowd" mereka sendiri sedangkan calon Pro Mahasiswa ataupun Pro Aspirasi sudah mempunyai "crowd" dari awal lagi memandangkan penyertaan mereka ibarat sebuah parti.

Pro-Mahasiswa USM.
Dilihat ibarat parti pembangkang di luar kampus tidak pernah menghentikan pasukan Pro Mahasiswa atau Pro M ini daripada memperjuangkan suara mahasiswa. Membawa tema Kepemimpinan, Keintelektualan, Kebajikan dan motto Sedia Mendokong Aspirasi Mahasiswa Sejagat ataupun SMART, Pro M dilihat sebagai sebuah badan yang lebih dekat kepada mahasiswa. Walaupun sering dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan seperti demonstrasi yang dilakukan Pro-M universiti-universiti lain, rata-rata warga USM melihat hubungan antara Pro M USM dan Pro M universiti lain seperti terputus dalam hal ini. Hal ini kerana, apabila berlaku sesebuah demonstrasi, Pro M USM dilihat seperti tidak ambil kisah tentang perkara tersebut, sebaliknya menumpukan perhatian kepada hal-hal yang lebih utama di universiti.  Identiti Pro M juga sering disamakan dengan Persatuan Mahasiswa Islam walaupun pada hakikatnya kedua-dua badan tersebut jelas berbeza. Meskipun berbeza, rata-rata pendokong Pro M USM dilihat membawa idea yang lebih islamik dan dianggotai kebanyakan warga USM yang cenderung kepada Islam secara kaffah ataupun menyeluruh. Pro M USM juga turut dianggotai pelajar-pelajar bukan bumiputera seperti Cina dan India. Keseluruhannya, Pro M USM boleh dikatakan sebagai sebuah badan yang ingin melakukan perubahan di USM.

Pro-Aspirasi USM.
Ketika Pro-M USM diibaratkan seperti parti pembangkang di luar kampus, Pro-Aspirasi USM ataupun Pro A ini pula lebih kerap dilambangkan sebagai parti pemerintah negara. Rasional, toleransi dan realistik yang dibawa sebagai motto mereka, menampakkan bahawa sikap diplomasi adalah teras utama dalam badan ini. Kebanyakan calon-calon Aspirasi akan bergerak dalam minggu-minggu orientasi dan diberi jawatan-jawatan penting supaya ketokohan dan kemampuan mereka akan menjadi lebih jelas, ini akan menjadi satu sokongan kepada undi di pihak mereka ketika pilihanraya kampus. Pro A USM juga menekankan semangat cintakan universiti sebagai teras utama dalam pergerakan mereka. Antara pelopor Apirasi USM yang kini sudah menjadi staf adalah saudara Zulkifli Che Hussin dan saudara Khairul Eruwan. Pro A USM juga menjadi tunggak kepada persatuan dan badan-badan USM kerana ramai anggota mereka mejadi penggerak utama persatuan-persatuan dan badan-badan tersebut. Keseluruhannya, Pro A USM boleh disimpulkan sebagai sebuah badan yang menyokong segala-segala cita universiti selagi mana keseimbangannya dengan kebajikan mahasiswa masih utuh. Pro A USM juga meyokong cita-cita dan aspirasi negara serta idea perpaduan 1 Malaysia dan menjadikan ia sebagai satu panduan ataupun "guidelines" dalam mengekspreskan cinta mereka kepada universiti.

"Lebih telus, lebih wibawa".


[USM] 367 Borang PRK Dikeluarkan Sehingga jam 4.

Mantan NYDP RKM sidang 2011/2012.


13 haribulan September 2012, borang pencalonan Pilihanraya Kampus(PRK) dikeluarkan oleh pihak HEP.

Seperti yang pernah dikeluarkan dalam artikel USMKini sebelum ini, hari ini adalah hari borang pencalonan PRK dikeluarkan oleh pihak USM. Daripada maklumat yang kami terima, sebanyak 367 borang telah diambil sehingga pukul 4.00 petang tadi. Jumlah yang agak mengejutkan sekiranya 367 orang yang mengambil borang tersebut semuanya ingin bertanding.

Namun, ketika ditanya kepada para pengambil borang, mereka menafikan akan bertanding dalam PRK kali ini, sebaliknya membantu rakan-rakan mereka yang ingin bertanding. Sebagai langkah berjaga-jaga, persediaan borang yang lebih dilihat dapat membantu sekiranya sesuatu perkara di luar jangkaan berlaku. Menurut seorang pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi, beliau disuruh mengambil borang bagi calon yang  akan bertanding dalam PRK kali ini.

Mantan Naib Yang Dipertua Rancangan Khidmat Masyarakat sidang lepas, saudara Norazrizal Aswad Abdul Rahman yang kami temui di kaunter mengambil borang HEP, menyatakan bahawa beliau berminat untuk bertanding dalam PRK kali ini. Beliau yang juga pelajar tahun akhir, meyatakan bahawa beliau cenderung untuk bertanding bagi konstituensi umum berbanding konstituensi pusat pengajian. Beberapa pelajar USM lain seperti Penghulu PPSL, saudara Ammar Aziz dan saudara Au Lim Ping juga dilihat sebagai antara yang berpotensi dalam PRK kali ini selain saudara Norazrizal Aswad.

"Lebih telus, lebih wibawa".