Tuesday 16 October 2012

[USM] Persidangan Dewan Perundingan Pelajar USM



Parlimen Mahasiswa Siri 1 bagi sidang 2012/2013 akan bersidang 10 November ini.

Ramai mahasiswa memandang tinggi kedudukan Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia(DPP) ini. Penggunaan perkataan parlimen sememangnya meletakkan satu tahap pernghormatan kepada DPP. Walaupun sehingga hari ini, DPP belum menampakkan autonomi dewan secara mantap sehingga kini, masih ramai yang beranggapan bahawa DPP masih mempunyai harapan yang besar dalam membawa suara mahasiswa.

Pernah diselar salah seorang pemimpin mahasiswa dari Universiti Malaya sebelum ini, saudara Mohd Syahid Mohd Zaini, yang menganggap bahawa Parlimen Mahasiswa tidak lebih dari sebuah boneka HEP. Melihatkan standing order dan batas kebebasan DPP, beliau menganggap DPP yang pada satu ketika menjadi harapan kepada pengembalian hak mahasiswa, jelas menghampakan. Beliau turut menekankan bahawa 3 prinsip utama yang perlu ada pada parlimen mahasiswa ialah autonomi, kebebasan dan demokrasi.

DPP diwujudkan bagi membincangkan isu-isu mahasiswa, namun kuasa dewan masih terbatas dengan kuasa pentadbiran universiti, menjadikan DPP gagal membawa idea mahasiswa kepada pelaksanaan sekiranya tidak mendapat persetujuan pihak pentadbiran universiti.

Seorang pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, ketika ditanya berkenaan DPP, mengulas bahawa DPP adalah salah satu langkah besar bagi memartabatkan mahasiswa. Tambah beliau, mahasiswa tidak sewajarnya membuat konklusi awal memandangkan DPP baru mengorak langkah. Mahasiswa sewajarnya berpandangan positif bahawa DPP akan diberikan hak membuat keputusan secara berperingkat. Ulas beliau lagi, sesetengah pihak yang cuba menyerang DPP adalah tidak relevan memandangkan terdapat usul-usul yang dibahaskan di dalam DPP telah berjaya dilaksanakan.

Meskipun demikian, terdapat juga yang masih berprasangka negatif dengan DPP. Seorang pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan(SoLLaT) menganggap bahawa DPP hanya berfungsi sebagai wayang kulit HEP. Beliau berkata, DPP ditubuhkan bagi menunjukkan kononnya kebebasan bersuara adalah salah satu agenda universiti, walhal mahasiswa masih dikongkong dengan autonomi pihak HEP yang sepatutnya adalah hak mahasiswa. Beliau menambah, jika benar ingin memberikan kebebasan pada mahasiswa, kembalikan autonomi kepada mahasiswa, tidak perlu untuk mengikut telunjuk HEP yang jelas tidak adil dalam melayan sesetengah kelompok mahasiswa.

Walaupun dilanda pelbagai mehnah dan halangan, DPP tetap berdiri teguh dan disokong banyak mahasiswa. Ramai berharap bahawa autonomi akan diberikan kepada DPP, cuma masanya belum tiba. Tuntasnya, DPP adalah simbol bahawa pentadbiran universiti bersedia untuk mendengar suara mahasiswa di Universiti Sains Malaysia.

"Lebih telus, lebih wibawa."

No comments:

Post a Comment