Dewan
Pembangunan Siswa, 6 Mac 2013 – Pertemuan antara Pegawai Khas Yang Amat
Berhormat(YAB) Menteri Besar Sabah dengan Perkumpulan Siswa Siswi Sabah(PERSIS)
bagi membincangkan mengenai isu semasa di negeri Sabah. Turut hadir dalam
majlis tersebut adalah IR. DR. Sheik Husin Mydin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Pulau Pinang dan Dato’ Haji Awang Kading, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah.
Dalam
Majlis tersebut, Pegawai Khas tersebut, Encik Jo, menegaskan bahawa keadaan di
Sabah masih dalam keadaan terkawal ketika ini. Tambah beliau,
penceroboh-penceroboh di Lahad Datu cuma menyerang anggota keselamatan negara
dan bukan orang awam. Setakat ini dilaporkan kematian dalam kalangan orang awam
masih sifar. Beliau juga berkata, YAB Menteri Besar Sabah juga telah bertemu
dengan pemimpin-pemimpin etnik Suluk di Sabah yang dikaitkan dengan
pencerobohan tersebut dan ternyata mereka 100% menolak tindakan pengganas
tersebut.
Beliau juga
turut menyampaikan amanat YAB agar para pelajar dan pekerja dari Sabah yang
merantau ke Pulau Mutiara ini agar tidak risau keadaan di Sabah. Kerajaan di
sana sentiasa memantau keselamatan di seluruh negeri Sabah. Selain itu, para
pelajar Sabah di USM diminta untuk mengekalkan fokus mereka sepenuhnya pada
pelajaran.
Ketika sesi
soal jawab, para pelajar bangkit menimbulkan beberapa soalan berkenaan krisis
Lahad Datu seperti kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang bukan
kelahiran Sabah ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan keraguan
mengenai kawalan anggota keselamatan di perairan negara sehingga membolehkan
150 orang penceroboh bersenjata berat berjaya bolos. Menolak untuk menjawab
kebanyakan soalan atas alasan sensitiviti, Encik Jo menegaskan bahawa anggota
keselamatan telah melakukan yang terbaik, dan kita perlu faham apabila
seseorang ingin melakukan kejahatan, segala metod akan difikirkan.
Salah
seorang pelajar dari Sabah yang ditemubual berkata, banyak khabar angin yang
didengari berkenaan Sabah. Antaranya perintah berkurung yang dikeluarkan sejak
minggu lepas. Walaubagaimanapun beliau bersyukur kerana keadaan di Sabah sudah
semakin tenang akhir-akhir ini berikutan kawalan ketat oleh anggota keselamatan
negara. Beliau juga berpesan agar rakan-rakan mahasiswa tidak mudah terpengaruh
dengan berita-berita yang datang kerana kebanyakan berita tersebut sekadar
khabar angin yang tidak boleh dipercayai 100%.