Thursday 7 March 2013

Lahad Datu terkawal?


Dewan Pembangunan Siswa, 6 Mac 2013 – Pertemuan antara Pegawai Khas Yang Amat Berhormat(YAB) Menteri Besar Sabah dengan Perkumpulan Siswa Siswi Sabah(PERSIS) bagi membincangkan mengenai isu semasa di negeri Sabah. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah IR. DR. Sheik Husin Mydin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang dan Dato’ Haji Awang Kading, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah.

Dalam Majlis tersebut, Pegawai Khas tersebut, Encik Jo, menegaskan bahawa keadaan di Sabah masih dalam keadaan terkawal ketika ini. Tambah beliau, penceroboh-penceroboh di Lahad Datu cuma menyerang anggota keselamatan negara dan bukan orang awam. Setakat ini dilaporkan kematian dalam kalangan orang awam masih sifar. Beliau juga berkata, YAB Menteri Besar Sabah juga telah bertemu dengan pemimpin-pemimpin etnik Suluk di Sabah yang dikaitkan dengan pencerobohan tersebut dan ternyata mereka 100% menolak tindakan pengganas tersebut.

Beliau juga turut menyampaikan amanat YAB agar para pelajar dan pekerja dari Sabah yang merantau ke Pulau Mutiara ini agar tidak risau keadaan di Sabah. Kerajaan di sana sentiasa memantau keselamatan di seluruh negeri Sabah. Selain itu, para pelajar Sabah di USM diminta untuk mengekalkan fokus mereka sepenuhnya pada pelajaran.

Ketika sesi soal jawab, para pelajar bangkit menimbulkan beberapa soalan berkenaan krisis Lahad Datu seperti kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang bukan kelahiran Sabah ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan keraguan mengenai kawalan anggota keselamatan di perairan negara sehingga membolehkan 150 orang penceroboh bersenjata berat berjaya bolos. Menolak untuk menjawab kebanyakan soalan atas alasan sensitiviti, Encik Jo menegaskan bahawa anggota keselamatan telah melakukan yang terbaik, dan kita perlu faham apabila seseorang ingin melakukan kejahatan, segala metod akan difikirkan.

Salah seorang pelajar dari Sabah yang ditemubual berkata, banyak khabar angin yang didengari berkenaan Sabah. Antaranya perintah berkurung yang dikeluarkan sejak minggu lepas. Walaubagaimanapun beliau bersyukur kerana keadaan di Sabah sudah semakin tenang akhir-akhir ini berikutan kawalan ketat oleh anggota keselamatan negara. Beliau juga berpesan agar rakan-rakan mahasiswa tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita yang datang kerana kebanyakan berita tersebut sekadar khabar angin yang tidak boleh dipercayai 100%.


No comments:

Post a Comment